Insan Cemerlang


Perihal Buku
Insan cemerlang tidak hanya diukur dengan pencapaian akademik malah juga melalui akhlak yang terpuji. Akhlak dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk nilai moral, etika, dan adab. Setiap Muslim ditegaskan supaya menghayatinya kerana insan cemerlang ialah orang yang paling baik akhlaknya. Malah pencapaian akademik seseorang insan perlu bertunjangkan akhlak yang terpuji. Malahan akhlak terpuji ini perlulah meliputi hubungan insan dengan penciptanya iaitu Allah dan ibubapa.
Justeru, insan yang cemerlang perlulah menjaga akhlak dan ibadahnya termasuk mampu mengawal akalnya untuk dimanfaatkan dengan cara yang hak. Sebagai pelajar, anda mempunyai kewajipan untuk belajar dan jika anda seorang ibu, bapa, guru, pekerja atau tidak bekerja sekalipun kita mempunyai tugas dan kewajipan di dunia ini untuk berusaha menjadi insan cemerlang.
Buku ini tidak terhad kepada pelajar sahaja kerana iktibar yang saya kongsikan meliputi kepada hakikat kehidupan untuk mengenal diri. Namun fokus utama buku ini membincangkan tentang konsep insan cemerlang dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh pelajar untuk memanfaatkannya khusus untuk peperiksaan.
Doa pilihan yang mudah diamalkan dalam kehidupan turut dimuatkan disamping beberapa panduan fardu ain yang perlu dilaksanakan ke arah menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat turut dikongsikan untuk diamalkan.
Buku ini sesuai dijadikan sebagai panduan atau ‘manual book’ kepada pelajar sekolah dan di institusi pengajian tinggi serta sesiapa sahaja yang inginkan kecemerlangan. Buku yang sederhana tebalnya ini mudah untuk dibawa ke mana-mana dan boleh dibaca dalam jangka masa yang pendek. Paling penting adalah bagaimana anda mengawal cara anda berfikir dan memanfaatkan ilmu yang anda perolehi. Hal ini kerana, hanya andalah yang boleh mengawal dan menentukan apa yang anda mahu. Allah tidak akan membantu sesuatu kaum sekiranya kaum tersebut tidak mengubahnya. Kita mampu mengubah apa yang kita ada hari ini kerana kitalah yang memiliki akal. Allah menentukan sesuatu mengikut sangkaan hambaNya. Jadi berusahalah dan berdoalah semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Sama sama kita berusaha ke arah keredhaanNya. InshaAllah. Aamiin

Comments